Pemerengganan yang berkesan merupakan usaha untuk
menghasilkan sebuah komposisi karangan yang mantap melalui binaan perenggan-perenggan yang sempurna. Menurut
Sullivan 1976, perenggan bermaksud gabungan ayat yang sempurna untuk
menghuraikan sesuatu idea dan menjadi sebahagian daripada penulisan yang
panjang. Manakala, menurut Spangler 1989, perenggan juga boleh dianggap sebagai
sekumpulan ayat yang mengembangkan sesuatu idea mengenai sesuatu perkara dengan
memberikan huraian khusus untuk menyokong dan menghuraikan idea tersebut.
Pemerengganan mempunyai fungsi tertentu kepada penulis
mahupun kepada pembaca. Hal ini demikian kerana pemerengganan menjadi pandu
arah kepada penulis untuk menghuraikan dan mengembangkan idea dengan bernas.
Hal ini menunjukkan bahawa konsep pemerengganan dapat mengurangkan bebanan
fikiran pengarang dalam menghasilkan rentetan dalam sesebuah karangan.
Selain itu, pemerengganan memainkan peranan tertentu
untuk memudahkan pembaca membentuk pemahaman dengan pantas kerana pembaca akan
berhadapan dengan satu idea di dalam setiap perenggan. Pengasingan idea-idea di
dalam setiap pemerengganan melancarkan proses pembacaan dan memudahkan pembaca
mengenal pasti aspek-aspek penting di
dalam pembacaan dan tanpa perenggan pembaca akan mengalami kesukaran untuk
mengingati dan menetukan idea-idea serta keterangan-keterangan yang telah
dibaca.
Menurut Mandell 1978, lazimnya perenggan mempunyai
tiga jenis, iaitu perenggan pengenalan, perenggan isi dan perenggan kesimpulan.
Setiap jenis perenggan mempunyai binaan dan fungsi yang tersendiri. Oleh itu,
pengarang seharusnya mempunyai pengetahuan berkaitan dengan aspek pemerengganan
untuk memudahkan penulis menghasilkan sesebuah penulisan yang bersistematik dan
menarik.
Perenggan ialah binaan bahasa yang terhasil daripada
sekumpulan perkataan yang membina pelbagai jenis ayat untuk menyampaikan satu idea
utama secara tuntas. Penulisan yang baik perlu mempunyai pemerengganan yang
seimbang, ejaan dan tanda baca yang betul, struktur ayat yang pelbagai dan
gramatis, penggunaan laras bahasa yang sesuai dan sebagainya. Terdapat empat
jenis perenggan iaitu perenggan pengenalan, perenggan isi, perenggan penutup
dan perenggan dialog. Karangan yang lengkap dan sempurna perlu mempunyai satu
pengenalan lima isi dan satu penutup. Fungsi perenggan adalah memperkenalkan
sesuatu yang penulis ingin ceritakan atau menerangkan di dalam penulisan kepada
pembaca.
Perenggan pengenalan berfumgsi untuk mengenalkan tajuk
kepada pembaca, menjelaskan tajuk dari segi makna atau tujuan, menegaskan
pendirian atau pendapat penulis tentang isu yang terkandung dalam tajuk dan
yang paling penting mampu merangsang minat, rasa ingin tahu dan emosi pembaca.
Hal ini demikian kerana perenggan pengenalan yang baik akan memberikan satu
keinginan kepada pembaca untuk mengetahui dengan lebih lanjut sesuatu penulisan
itu. Perenggan pengenalan yang baik perlu mempunyai ayat pernyataan, ayat
huraian, ayat rangsangan dan ayat pandu atau arah. Ayat pernyataan adalah ayat
yang menyatakan pandangan penulis terhadap isu yang diperkatakan dengan
menggunakan penegasan dan alasan. Selain itu, ayat huraian boleh menggunakan
ayat jenis perbandingan, perumpamaan, faedah dan sebagainya. Seterusnya, ayat rangsangan
ialah ayat yang merangsang pembaca sehingga membuatkan pembaca rasa ingin
meneruskan pembacaan tentang penulisan tersebut. Aspek-aspek yang dapat
merangsang pembaca ialah perkataan daripada kategori yang menghuraikan
perasaan, penilaian, keadaan dan suasana. Contoh ayat rangsangan ialah “Memandu
laju akan mempercepatkan jangka hayat manusia”. Ayat ransangan ini digunakan
untuk menimbulkan rasa ingin tahu dalam diri pembaca dan boleh dilakukan dalam
bentuk persoalan. Misalnya, “Bagaimanakah hal ini boleh terjadi dalam kalangan
pelajar?”, “Siapakah yang bertanggungjawab dalam perkara ini selain ibu bapa?”.
Akhir sekali ialah ayat pandu yang memberi bimbingan kepada pembaca untuk
memahami isi tersirat perenggan tersebut. Ayat pandu bertujuan untuk memandu
pembaca tentang hala tuju karangan dan mengandungi fakta yang tidak boleh
direka. Keadaan ini akan memudahkan penulis memikirkan idea utama dan idea
sokongan dengan menghuraikan tema sesebuah karangan. Ayat pandu atau arah ini
boleh dinyatakan secara terus atau secara tersembunyi. Ayat pandu ini berfugsi
untuk memandu penulis, mengelakkan penyelewengan, memudahkan penyemakan,
memudahkan pembacaan dan memberitahu pembaca tentang kandungan sesebuah
karangan.
Pemerengganan yang berkesan bagi binaan perenggan isi
perlu mengandungi idea utama dan idea sokongan secara terperinci agar mudah
menarik minat pembaca. Bukan itu sahaja, binaan perenggan isi juga merangkumi
ayat huraian, ayat contoh, ayat sokongan dan ayat rumusan. Kedudukan perenggan
isi ialah di pertengahan antara perenggan pendahuluan dan perenggan penutup. Setiap
perenggan isi perlu mengfokuskan satu idea utama sahaja agar penulisan yang
dihuraikan tidak lari daripada idea utama. Tujuannya untuk memudahkan proses
penghuraian isi yang akan membentuk perenggan dan tidak terlalu membebankan
untuk proses mengarang. Perenggan isi berfungsi untuk menyampaikan idea
berkaitan tajuk kepada pembaca. Penulisan perenggan isi perlu jelas dan tidak
berputar belit agar mudah difahami oleh pembaca. Struktur perenggan isi ialah
ayat topik, ayat huraian, ayat contoh, ayat sokongan dan rumusan. Ayat topik
ialah ayat yang memaparkan idea utama atau isi bagi perenggan tertentu.
Tujuannya untuk memudahkan proses pembacaan dan akan menyebabkan pembaca berasa
selesa untuk meneruskan pembacaan. Ayat
topik berada di awal perenggan untuk memudahkan proses mengarang serta
mengurangkan beban berfikir ketika mengarang.
Ayat topik terbentuk daripada pernyataan isi atau idea dalam satu ayat
yang gramatis. Oleh sebab itu, subjek dan prediket perlu dibina dengan sempurna
bagi memastikan ayat tersebut berfungsi dengan berkesan. Di samping itu, ayat
contoh juga perlu diselitkan dalam setiap perenggan ini. Hal ini demikian,
untuk memperkukuhkan idea sokongan ataupun huraian yang telah kita simpulkan.
Ayat contoh ini boleh berdasarkan fakta ataupun pengalaman penulis itu sendiri
yang berkaitan dengan idea utama di setiap perenggan. Misalnya, ayat contoh
jenis fakta ialah ‘kegawatan ekonomi menyebabkan harga barang kawalan seperti
minyak, gula dan sebagainya meningkat’.
Perenggan penutup berfungsi untuk mengakhiri sesebuah
penulisan dengan menghujahkan pandangan dan mampu meninggalkan kesan kepada
pembaca. Selain itu, perenggan penutup perlu mempunyai nilai murni yang perlu
diterapkan dalam diri pembaca. Perenggan penutup mengandungi ayat yang
berfungsi sebagai amaran, harapan, penegasan, ringkasan, rumusan, imbasan,
bandingan, ramalan, kesan dan cadangan. Ayat penegasan kadangkala perlu bagi
menegaskan bahawa pentingnya sesuatu isu itu dibicarakan dalam penulisan. Hal
ini demikian kerana pembaca akan merasakan bahawa diri mereka juga
bertanggungjawab dalam isu yang diperkatakan dan akan cuba untuk memperbaiki
diri. Seterusnya, pernyataan cadangan dalam perenggan penutup digunakan bagi
tajuk atau jenis karangan yang mengemukakan persoalan. Pada perenggan ini,
penulis akan memberikan jalan penyelesaian terhadap isi yang diperkatakan.
Dengan kata lain, perenggan penutup merupakan perenggan yang dapat menyimpulkan
keseluruhan pandangan, isi yang penulis ingin katakana kepada pembaca.
Kesimpulannya, setiap pengarang yang ingin mengarang
penulisannya hendaklah mengetahui bahawa konsep pemerengganan perlu dipraktikan
di dalam karangan kerana hal ini jelas
membuktikan bahawa dengan adanya konsep pemerengganan ianya memberi satu
kebaikan kepada penulis itu sendiri mahupun kepada pembaca. Oleh hal demikian,
penulis atau pengarang yang benar-benar mahir menggunakan konsep pemerengganan
sudah semestinya akan dapat menghasilkan sebuah karangan yang mempunyai
pemerengganan yang berkesan.
Rujukan
Hashim Othman, Pentaksiran Karangan Bahasa Melayu, (2005), Universiti
Sains Malaysia.
Roselan Baki, Pengajaran dan Pembelajaran Penulisan Bahasa Melayu, (2003),
Karisma
Publication Sdn Bhd.
No comments:
Post a Comment